SHAHIDAN (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan.
SHAHIDAN (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima bantuan.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Maahad Tahfiz Al-Faridiyah meneruskan tradisi mereka sejak 25 tahun lalu untuk menyantuni golongan memerlukan dengan memberikan sumbangan sempena menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Selepas diadakan secara kecil-kecilan akibat pandemik Covid-19 dua tahun lalu, program itu kembali memberi manfaat kepada 2,000 penerima tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, kebiasaannya penerima akan diraikan dalam majlis pemberian pada skala besar.

Katanya, tahun ini pemberian dilakukan secara berperingkat sejak Isnin lalu dan ia disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

"Alhamdulillah, sebanyak 2,000 pek barangan asas berjaya diagihkan seperti kebiasaan.

"Kebanyakan penerima adalah mereka yang saban tahun mendapat bantuan. Dengan bantuan sukarelawan, kerja pengagihan sejak Isnin lalu itu berjalan lancar," katanya kepada Harian Metro.

Jawahar Ali berkata, kali terakhir ia diadakan dalam skala besar ialah pada 2019 dengan penerima seramai lebih 1,500 orang di sekitar Lembah Klang.

"Bersesuaian dengan maahad tahfiz ini yang sudah mula digunakan, kita adakan program ini di sini kerana ia lebih selesa kepada semua.

"Insya-Allah dengan berkat doa semua, kita akan teruskan lagi pada tahun akan datang dan mungkin akan menambah jumlah bantuan berdasarkan kesesuaian, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 9:27 PM