ZAFRI (kiri) bersama Danish dan Amirul ceria menjual air dan belon. FOTO Nazri Abu Bakar
ZAFRI (kiri) bersama Danish dan Amirul ceria menjual air dan belon. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pembukaan banyak bazar Ramadan dan Aidilfitri menjadi ruang buat beberapa pemuda termasuk remaja di negeri ini mengambil kesempatan menjana pendapatan menjelang perayaan berkenaan.

Penjual air minuman Zafri Zolkeffle, 16, dari Duyong mengakui ceria kerana turut memperolehi pendapatan sampingan walaupun sekadar menjual air botol dan tin bazar Aidilfitri di Ayer Keroh.

Katanya, dia hanya menggunakan bekas air diletakkan di atas kereta tolak sahaja di tengah laluan orang ramai membeli belah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dia berjaya menarik perhatian pengunjung yang selalunya mahu menikmati air tin dan botol sejuk untuk melepaskan dahaga sepanjang mereka berkunjung bazar terbabit.

"Sesekali saya menolak kereta berkenaan ke berapa lokasi lain. Apa yang penting kita perlu peramah, selalu tersenyum dan bijak menarik hati pelanggan.

"Di sini saya dapat belajar berhadapan dengan orang ramai dan meningkatkan komunikasi saya selain mengembangkan minat untuk menjadi ahli perniagaan berjaya pada masa hadapan," katanya.

Menurutnya, tahun lalu dia hanya menjadi pembantu jualan tetapi kini dia mampu untuk mengusahakan sendiri sekali gus menjana pendapatan.

Sementara itu, Danish Hakim, 21, dari Bukit Rambai juga mengakui seronok dan teruja menjalankan perniagaan di bazar Aidilfitri walaupun sekadar menjual belon untuk kanak-kanak.

Beliau berkata, dengan bilangan pengunjung yang ramai jualan juga amat positif membolehkan dia terus teruja menjalankan perniagaan selama hampir sebulan.

Dia yang dibantu abangnya Amirul Hakim, 23, juga mengakuiia kesempatan terbaik buatnya dan remaja lain untuk belajar berniaga dan meraih pendapatan.

Malah, sokongan orang ramai terhadap perniagaan yang dijalankan menjadikan dia bersemangat untuk terus berjaya dalam bidang keusahawan pada masa akan datang.

Bagi penjual Roti John di bazar Ramadan di Alor Gajah, Mohd Hazid Ahmad, 22, dia juga teruja menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan kerana memperolehi pengalaman berharga dalam masa sama memperolehi duit poket menjelang Aidilfitri.

Baginya, situasi sambutan amat baik pada kali ini amat melegakan namun dia tetap mematuhiprosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 2:14 PM