Redzuan Muharam


“BIARLAH apa orang nak kata. Saya sudah lali dan tak kisah jika ada menganggap saya berniaga kerana sudah sendu atau tak laku sebaliknya bersyukur dengan rezeki hasil perniagaan ini,” kata penyanyi, Ayu Damit mengenai pembabitan sulungnya dalam aktiviti jualan bazar Ramadan pada tahun ini.

Ayu yang pernah memenangi pertandingan One In A Million mengakui, dia sudah menceburi bidang perniagaan sejak dua tahun lalu selepas mengusahakan tanaman cili fertigasi di Hulu Langat bersama suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 32.

Menurut Ayu, perasaan janggal itu ada pada mulanya, namun kini sudah dapat membiasakan diri bertemu dan berurusan dengan pelanggan.

“Sebelum ini, saya lebih tertumpu kepada perniagan atas talian dan untuk mengkomersialkannya, saya perlu ambil inisiatif untuk keluar berniaga.

“Ikutkan, kekok juga untuk menjual sendiri produk di tempat terbuka, tetapi lama kelaman, perasaan itu hilang dan jujurnya, perniagaan ini menjadikan saya lebih yakin untuk bercakap di khalayak

AYU mempromosikan produk cili jeruk. FOTO Nik Hariff Hassan
AYU mempromosikan produk cili jeruk. FOTO Nik Hariff Hassan

“Malah, dengan adanya perniagaan ini, saya dan suami dapat menampung keluarga memandangkan bukan setiap masa ada tawaran persembahan. Jadi, kami perlu menyediakan masa depan lebih terjamin untuk anak-anak selain mencari wang bagi menyambut Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Emporium 2019 by TMCC di TM Convention Centre di sini.

Sementara itu, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Menaruh Harapan, Zaiton Sameon berkata, dia masih menerima undangan menyanyi, tetapi mengambil peluang menjual rendang ayam, daging dan campur sempena Ramadan untuk menambah pendapatan.

“Niat saya berniaga untuk mencari rezeki dan dilakukan secara sambilan kerana sehingga kini saya masih menerima undangan menyanyi.

“Cuma, biasalah ada juga menganggap saya jalankan perniagaan kerana sudah tidak laku sedangkan saya lakukannya kerana minat dan mahu memanfaatkan kemahiran memasak resepi arwah ibu iaitu rendang Negeri Sembilan.

ERIC Fuzi dan Amer Floor 88 tidak melepaskan peluang menambah pendapatan dengan berniaga di tapak Karnival Ramadan Presint 3, Dataran Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad
ERIC Fuzi dan Amer Floor 88 tidak melepaskan peluang menambah pendapatan dengan berniaga di tapak Karnival Ramadan Presint 3, Dataran Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad

“Di samping menambah pendapatan, saya seronok kerana bertemu dengan peminat dan memenuhi permintaan mereka untuk bergambar bersama,” katanya.

Sementara itu, pemain keyboard kumpulan Floor 88, Eric Fuzi, perniagaan sepanjang Ramadan memberi peluang untuk selebriti mencari duit bonus menjelang Aidilfitri.

“Ini kali pertama Floor 88 merasai pengalaman berniaga sebagai satu band di bazar dan kami lakukannya untuk mengisi masa yang ada kerana tawaran menyanyi masih ada serta berjalan seperti biasa.

“Menariknya, biskut yang dijual adalah hasil buatan ibu kami sendiri dan buat masa ini, belum ramai membeli biskut mungkin kerana masih terlalu awal.

“Apapun, kami bersyukur kerana turut serta dan jika ada rezeki dan peluang, boleh diteruskan pada tahun depan,” katanya ketika ditemui di tapak Karnival Ramadan Presint 3, Dataran Putrajaya,baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 7:15 AM
ZAITON (kiri) menjual rendang ayam dan daging di ruang legar TM Convention Centre. FOTO Nik Hariff Hassan
ZAITON (kiri) menjual rendang ayam dan daging di ruang legar TM Convention Centre. FOTO Nik Hariff Hassan