MERCUN  yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
MERCUN yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Noor Hidayah Tanzizi


Parit: Hasrat seorang peniaga pasar malam mahu mengaut keuntungan menjual mercun sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini tidak berpanjangan apabila dia ditahan di rumahnya di Jalan Padang Bola, di sini, semalam.

Dalam serbuan pada 11.50 malam itu, polis turut merampas mercun pelbagai jenis bernilai RM33,000.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, lelaki berusia 43 tahun berkenaan ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan Balai Polis Parit.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dapur rumah berkenaan menemui empat guni plastik berwarna putih bersama lapan kotak berisi pelbagai jenis mercun.

"Pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah pula menemui 13 kotak berwarna coklat di dalamnya mengandungi pelbagai jenis mercun.

"Suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen atau lesen yang sah atas barangan dijumpai itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek dipercayai menjual mercun sebagai pendapatan sampingannya yang dibeli daripada seorang lelaki di Ipoh.

"Dalam tempoh sebulan suspek membuat lebih kurang lima kali pembelian mercun bermula akhir Mac lalu sehingga seminggu sebelum ditangkap, dengan anggaran setiap pembelian RM8,000," katanya.

Barudin berkata, suspek kemudiannya ditahan dan barangan rampasan dibawa ke IPD Perak Tengah untuk siasatan lanjut.

Katanya, permohonan analisa dari Jabatan Kimia akan dibuat untuk mendapatkan laporan mengenai barang kes.

"Suspek direman selama tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 9:13 PM