GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis Johor merekodkan 209 kes membabitkan penipuan sindiket Macau Scam dengan kerugian RM9.5 juta mulai awal tahun hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, jumlah kes meningkat 132 peratus berbanding 90 kes direkodkan tempoh sama tahun lalu manakala jumlah kerugian meningkat lebih 230 peratus daripada RM2.8 juta.

Beliau berkata, mangsa mendakwa terpedaya dengan sindiket berkenaan yang menyamar sebagai anggota polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau ejen insurans yang membuat panggilan kepada mangsa menggunakan nombor tidak dikenali atau menerusi operator.

Katanya, mangsa kemudian dimaklum memiliki tunggakan cukai tidak dibayar yang boleh dikenakan tindakan.

"Mangsa terdiri daripada golongan muda dan warga emas selain dewasa yang bekerja dan pesara.

"Mereka yang terpedaya kebiasaannya melakukan transaksi wang dalam tempoh seminggu sejak panggilan pertama dilakukan sindiket," katanya.

Amran berkata, semua urusan dilakukan menerusi perbankan Internet dan mangsa turut diminta memberikan butiran berkaitan akaun bank mangsa dan nombor TAC pemindahan wang sebelum wang dilesapkan.

"Penerima panggilan seharusnya tenang dan tidak cemas ketika menerima panggilan serta boleh menghubungi agensi berkaitan bagi mendapatkan kepastian.

"Jangan sesekali mendedahkan butiran anda termasuk berkaitan perbankan," katanya menerusi siaran media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 12:27 PM