Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lipis: "Penduduk memang sudah tidak sabar menantikan program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang akan bermula esok," kata Pengerusi Masjid Saiyidina Ali Bin Abu Talib, Kampung Tempoyang, Datuk Zulkifli Othman.

Zulkifli berkata, persiapan sudah bermula sejak seminggu lalu dan hari ini, hanya persiapan akhir iaitu penyediaan bahan mentah untuk memasak bubur lambuk bagi memastikan program TKHM agihan bubur lambuk dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dapat berlangsung dengan lancar.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berkata, kira-kira 100 sukarelawan sudah bersedia untuk melaksanakan program memasak bubur lambuk TKHM selain mereka juga sudah diberikan taklimat berhubung perjalanan program.

"Sebaik dimaklumkan pihak Harian Metro akan mengadakan program TKHM di sini, kami berasa amat bertuah dan berbesar hati dengan hasrat itu. Kami sangat bersyukur kerana dipilih untuk program ini.

"Tambah pula apabila dapat tahu penyediaan bubur lambuk dibawa khas dari Kampung Baru, Kuala Lumpur. Memang penduduk menantikan dan tidak sabar nak merasa keenakannya," katanya ketika ditemui hari ini.

Pada program berkenaan sebanyak 80 kilogram daging akan digunakan untuk penyediaan 4,000 pek bubur lambuk yang akan diagihkan kepada penduduk setempat, pelajar sekolah dan petugas barisan hadapan.

Sementara itu, Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz berkata, program bubur lambuk itu adalah kesinambungan daripada program siri jelajah TKHM yang dilaksanakan sejak 2007.

Menurutnya, program bubur lambuk diadakan bertujuan mengimarahkan lagi Ramadan serta sebagai salah satu usaha mengukuhkan semangat kerjasama dan merapatkan hubungan Harian Metro bersama rakan korporat dengan komuniti setempat.

"Seramai 15 sukarelawan Harian Metro turut terbabit dalam gotong-royong program kali ini. Insya-Allah program TKHM di masjid ini akan berjalan seperti dirancang. Semua pihak sangat memberikan kerjasama dalam memastikan kelancaran program," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 4:28 PM
PENDUDUK membuat persiapan pada Program Bubur Lambuk Perdana KPLB Bersama Titipan Kasih Harian Metro di Masjid Saiyidina Ali. FOTO Saifullizan Tamadi
PENDUDUK membuat persiapan pada Program Bubur Lambuk Perdana KPLB Bersama Titipan Kasih Harian Metro di Masjid Saiyidina Ali. FOTO Saifullizan Tamadi