ROKOK tidak bercukai yang dirampas PPMW5 Bintulu di Jalan Bintulu-Tatau awal pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
ROKOK tidak bercukai yang dirampas PPMW5 Bintulu di Jalan Bintulu-Tatau awal pagi tadi. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Bintulu: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 105 kotak rokok pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM790,500 dalam sebuah kontena di Jalan Bintulu-Tatau, di sini, hari ini.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali berkata, anggota Unit Risikan Marin (URM) melakukan pemeriksaan terhadap kontena yang diletakkan di tepi jalan itu pada 4 pagi hasil maklumat serta risikan.

"Pegawai dan anggota URM menunggu selama dua jam, namun tidak ada individu yang menuntut atau mengaku memiliki kontena yang berkunci itu.

"Kita terpaksa menggunakan alat pemotong bagi membuka kunci pintu hadapan kontena terbabit dan menemukan 105 kotak rokok pelbagai jenama tanpa cukai dianggarkan bernilai RM790,500," katanya kenyataan, di sini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati kesemua rokok terbabit tidak mempunyai cukai kastam.

Katanya, kesemua barangan rampasan termasuk kontena dibawa ke Markas Operasi PPM Bintulu untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 4:41 PM