Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Akta Tabung Angkatan Tentera (TAT) akan dibawa ke Parlimen untuk pindaan pada tahun ini bagi membolehkan tabung persaraan itu diuruskan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kabinet sudah memberi kelulusan secara prinsip dan ia akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda pada tahun ini.

"Demi kepentingan pencarum, terdapat dua perkara yang diberi penekanan dalam pindaan Akta TAT ini. Pertama memberikan fleksibiliti supaya pencarum boleh memilih untuk meningkatkan kadar caruman syer pekerja/individu lebih daripada 10 peratus.

"Pindaan itu juga bagi membenarkan pencarum memilih untuk terus menabung dengan LTAT walaupun sudah tamat perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2022 di Auditorium Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

HISHAMMUDDIN ketika majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri ATM 2022 di Auditorium Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Eahim
HISHAMMUDDIN ketika majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri ATM 2022 di Auditorium Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Eahim

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, kesemua empat kapal misi pesisir (LMS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah diterima dan ditauliahkan.

"Malah, kementerian sudah memulakan perancangan serius untuk melaksanakan perolehan LMS batch kedua. Ia akan bermula dengan tiga buah dan bakal dilengkapi sistem persenjataan lebih canggih," katanya.

Terdahulu, Hishammuddin dalam ucapannya berkata, pihaknya berterima kasih kepada 77 penyumbang yang menghulurkan sumbangan hari raya dalam pelbagai bentuk kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Saya difahamkan, 11 penyumbang membuat sumbangan berbentuk barangan manakala 66 penyumbang lagi membuat sumbangan berbentuk kewangan dengan nilai keseluruhan lebih RM1.8 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 2:04 PM