DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Hairul Anuar Rahim
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Hairul Anuar Rahim
Suzalina Halid dan Ahmad Ismail


Segamat: Kadar dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun 2021 diumum sebanyak 4.1 peratus iaitu yang tertinggi sejak tampuk kepimpinan kerajaan bertukar tangan pada 2018.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendapatan kasar LTAT bagi tahun kewangan 2021 meningkat sebanyak 50.2 peratus kepada RM512.3 juta berbanding RM341.1 juta pada 2020.

"Hasil komitmen dan kesungguhan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), LTAT dan semua pihak berkepentingan, kadar dividen LTAT untuk tahun ini adalah sebanyak 4.1 peratus.

"Ketika Pakatan Harapan (PH) dulu dividen rendah sangat sekarang tinggi semula di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Insya Allah dengan kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin tahun depan akan lebih tinggi lagi dividen," katanya ketika berucap merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat, di sini, hari ini.

RKMAT Kem Segamat ini mula dibina pada 24 April 2018 dengan kos RM147.7 juta.

Ia merangkumi 305 unit RKMAT pelbagai kelas untuk kemudahan keluarga pegawai dan anggota pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (RAD).

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, prestasi pelaburan ini membuahkan hasil kesan daripada Pelan Transformasi LTAT yang dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata, pindaan Akta TAT hasil pelan transformasi adalah membabitkan dua perkara iaitu memberikan fleksibiliti supaya pencarum tentera boleh memilih untuk meningkatkan kadar caruman syer pekerja dan individu lebih daripada 10 peratus.

"Pindaan itu turut membenarkan pencarum memilih untuk terus menabung dengan LTAT walaupun sudah tamat perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, MINDEF meluluskan pembinaan Kem Segamat Fasa 2, yang akan dilengkapi lebih banyak fasiliti dan kemudahan.

Beliau berkata, ia juga bakal melengkapkan keseluruhan fungsi kem Segamat, dengan fasiliti serta kemudahan yang akan dibina termasuk pembinaan bangunan guna sama seperti Wisma Perwira, Wisma Bintara dan Pusat Perubatan Angkatan Tentera.

"Selain itu, blok kediaman pegawai dan blok kediaman PTTK, bateri markas, bateri meriam; pejabat latih dan kompleks garaj meriam, kompleks logistik dan kompleks kenderaan juga akan dibina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 7:13 PM