LAMAN sesawang e-konsular
LAMAN sesawang e-konsular
BERNAMA

Putrajaya: Sistem e-Konsular Wisma Putra, yang menerima dan memproses permohonan Sijil Kelakuan Baik (CGC), kembali pulih seperti biasa selepas mengalami masalah teknikal.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan pemohon akan dapat menerima sijil itu dalam tempoh masa ditetapkan.

"Kelewatan itu berpunca daripada masalah teknikal pada perkakasan sistem data Polis Diraja Malaysia (PDRM)," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, terdapat satu laporan akhbar tempatan menyatakan berlaku masalah teknikal pada server sistem e-Konsular Kementerian Luar menyebabkan kelewatan pengeluaran SKB/CGC.

Susulan itu, tindakan segera telah diambil dan langkah penyelesaian sudah pun dipersetujui oleh Kementerian Luar dan PDRM dalam menangani kelewatan itu.

Langkah yang diambil ini adalah amat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang diperlukan orang awam tidak terjejas

"Sehubungan itu proses permohonan SKB kini kembali berjalan seperti biasa dan tempoh menunggu untuk kelulusan adalah tidak melebihi satu hingga dua bulan, seperti yang dinyatakan di sistem e-Konsular dan laman sesawang kementerian," jelas kenyataan itu.

Kementerian turut menasihatkan semua pemohon memenuhi syarat yang dinyatakan di sistem e-Konsular agar permohonan SKB dapat dikeluarkan dengan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:43 PM