DATUK Seri Rina Harun, berbual dengan murid-murid selepas menyampaikan Kit Seri di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit. FOTO Fathil Asri
DATUK Seri Rina Harun, berbual dengan murid-murid selepas menyampaikan Kit Seri di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Chow Kit. FOTO Fathil Asri
Mohamad Ashyiq Haqimi Yusof


Kuala Lumpur: "Sekolah ini umpama memberi kehidupan baharu kepada saya untuk mencapai impian kerana berdepan dengan kesulitan akibat masalah keluarga sejak kecil."

Begitu kata pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit, di sini, Muhammad Nor Hakimi Muhammad Nor, 18, yang mempelajari pelbagai bidang ilmu termasuk akademik, kerohanian dan kemahiran hidup sejak enam tahun lalu.

"Saya memasang impian ingin menjadi ahli muzik sejak kecil kerana suka bermain dram dan Alhamdulillah fasiliti di sini (Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih) juga menyediakan peralatan muzik yang mencukupi untuk semua pelajar.

"Bukan setakat kemahiran muzik, sekolah ini juga menyediakan kelas kemahiran tarian, menjahit dan juga memasak. Malah, kesemua pelajar bebas untuk belajar kemahiran yang mereka suka," katanya.

Muhammad Nor berkata demikian ketika ditemui di majlis penyerahan Kit Kebersihan Asas Wanita (Kit Seri) oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun kepada 34 pelajar sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, pelajar turut didedahkan dengan pengurusan kebersihan diri melalui ceramah bertajuk "Pengurusan Haid dan Kesihatan Reproduktif".

Sementara itu, pelajar lain Qaseh Mikaela, 14, dari Rumah Titian Kasih turut berkongsi kegembiraan apabila dikelilingi rakan dan guru yang sentiasa mengambil berat mengenai dirinya.

"Saya sudah belajar di sini sejak berusia tujuh tahun lagi. Pada mulanya saya rasa takut dan sedih tetapi dengan keberadaan semua orang yang sentiasa sokong dan ambil berat, kini saya lebih kuat untuk menjalani kehidupan seharian.

"Rakan-rakan amat baik, malah guru tidak pernah mengeluh untuk memberi ilmu. Saya lebih suka mempelajari kemahiran menjahit dan bercita-cita untuk membuka kedai jahitan sendiri apabila besar nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 3:50 PM