DATUK Seri Hamzah Zainudin ketika meninjau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Hamzah Zainudin ketika meninjau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan membuat penambahan sebanyak 15 kaunter berbanding hanya 25 kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penambahan kaunter itu bagi mempercepatkan urusan memproses kemasukan rakyat Malaysia mahupun warga asing di Tambak Johor sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan sejak sekian lama.

"Saya memantau beberapa projek pelaksanaan yang diputuskan Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan Tambak Johor yang sebelum ini mengalami kelewatan akibat pandemik Covid-19.

"Ia termasuklah laluan berbumbung pejalan kaki dari Tambak Johor sehingga ke Woodlands, (Singapura) yang akan dipercepatkan pembinaannya.

"Kita juga bersetuju untuk menambah kaunter imigresen daripada 25 kepada 40 kaunter supaya kemudahan ditambah baik dan persediaan sudah dibuat sebaik sempadan dibuka sepenuhnya nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan meluluskan peruntukan RM85 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, 11 Oktober tahun lalu bagi melaksanakan 23 inisiatif yang dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor.

Kesemua inisiatif berkenaan diputuskan Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor termasuk langkah-langkah perancangan dan reka bentuk teknikal sudah dilaksanakan dan kerja-kerja pembangunan iaitu ubah suai dan naik taraf bangunan sudah bermula sejak awal tahun ini.

Manakala penambahbaikan dan tambahan peralatan untuk sistem kawalan pintu masuk seperti Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan M-BIKE, sebahagiannya dijangka selesai tahun ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, penambahbaikan terutama penambahan kaunter untuk kereta, motosikal dan pejalan kaki itu akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat.

"Ini sangat penting kerana apabila sempadan dibuka sepenuhnya, kira-kira 400,000 pekerja Malaysia di Singapura akan berulang alik dengan kebanyakannya menggunakan laluan Tambak Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:13 PM