GAMBAR fail, Jeffrey. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Jeffrey. FOTO NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jangkitan demam babi Afrika (ASF) kini merebak di daerah Papar, Kota Kinabalu dan Tenom menjadikan 21 daerah di Sabah dilanda wabak itu sehingga kini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, wabak ASF diisytiharkan di Papar selepas virus penyakit itu dikesan di Kampung Kogopon dan Kampung Purak pada 14 September lalu.

Katanya, virus itu menyebabkan kematian 91 babi di kedua-dua kampung berkenaan dalam tempoh dua minggu menyebabkan kerugian mencecah RM50,000.

"Setakat ini, virus berkenaan hanya menjangkiti babi yang diternak penduduk kampung dan bukan ladang ternakan babi komersial. Di ladang komersial terdapat kira-kira 9,400 ternakan babi.

"Selain Papar, dua lagi daerah turut diisytiharkan kawasan wabak ASF iaitu Kota Kinabalu pada 30 September lalu dan disusuli Tenom pada 13 Oktober," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan beliau menyusul selepas satu surat makluman dikeluarkan Pejabat Daerah Papar mengatakan daerah itu dilanda wabak ASF berkuat kuasa pada 12 Oktober lalu tersebar baru-baru ini.

Berdasarkan surat berkenaan, semua aktiviti pemindahan babi atau mengeluarkan babi ke atau dari daerah itu adalah dilarang.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, berkata penularan virus ASF di ibu negeri dan Tenom juga hanya menjangkiti babi yang diternak penduduk kampung dan kes diklasifikasikan sebagai terasing.

"Pada masa ini, kementerian belum memutuskan untuk memusnahkan semua babi di daerah terbabit kerana kes ASF itu adalah terasing dan babi di ladang komersial didapati bebas ASF selepas beberapa ujian," katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekang penularan virus berkenaan, Jeffrey berkata, kementeriannya akan terus mengawal aktiviti pemindahan babi dan produk berkaitan haiwan berkenaan di daerah yang terbabit.

Katanya, kempen meningkatkan kesedaran di kampung dan lokasi terjejas turut dilaksanakan selain memantau aktiviti di ladang dan rumah penyembelihan di semua daerah yang dikesan wabak ASF.

Awal tahun ini, kawalan yang sama dilaksanakan di 19 daerah dan hasilnya tujuh daerah berjaya diklasifikasikan kepada zon kuning daripada merah selepas tiada kes baharu ASF dilaporkan dalam tempoh dua bulan lalu iaitu Pitas, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod, Kinabatangan dan Sandakan.

Jeffrey berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus memantau situasi ASF di Sabah dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani penularan virus berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 7:20 PM