Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Hilangnya mungkin tiada pengganti. Ungkapan itu tepat bagi menggambarkan satu-satunya pembuat songkok di negeri ini yang masih ada.

Keadaan itu secara tidak langsung membuatkan Adnan Husain, 66, dari Kampung Losong Masjid, di sini, amat risau berikutan kemahirannya dimiliki masih belum ada pewarisnya.

Adnan berkata, dia yang mempunyai tujuh anak termasuk dua lelaki berusia 29 hingga 43 tahun, namun mereka tidak berminat menceburi bidang pembuatan songkok.

"Saya mula membuat songkok secara manual sejak 40 tahun lalu dan apa yang paling merunsingkan apabila kemahiran ini tidak dapat menarik minat pihak berkenaan termasuk anak-anak untuk diketengahkan.

"Jika ada pusat-pusat pendidikan berteraskan kemahiran ingin bekerjasama boleh datang menemui saya kerana mahu warisan ini terus terpelihara kerana ia adalah salah satu busana perhiasan masyarakat Melayu," katanya.

Bercakap mengenai jualan songkok bagi menyambut Aidilfitri, Adnan berkata, dia sudah menyimpan stok lebih 1,000 songkok hasil kerja tangannya sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, pelbagai saiz songkok dihasilkannya mendapat sambutan baik di kalangan pelanggan di mana setiap songkok buatan tangan ini dijual pada harga RM50, RM80 dan RM120.

"Dua tahun sebelum ini permintaan menurun berikutan negara berada dalam pandemik Covid-19, namun kini permintaan kembali meningkat berikutan sambutan perayaan sudah dibenarkan.

"Namun, paling menggusarkan saya adalah tiada pewaris kepada pembuatan songkok secara manual ini kerana yang tinggal hanya saya seorang saja di negeri ini," katanya yang mewarisi kemahiran daripada arwah bapanya.

Menurutnya, terdapat satu songkok menggunakan kelambu Kaabah pada bahagian luar, manakala bahagian dalam songkok pula kelambu penutup makam Rasulullah SAW dalam simpanannya.

Katanya, kain untuk membuat songkok itu sudah lama diperoleh daripada seorang kenalan dan dia mahu mengabadikannya sebagai sebuah songkok.

"Songkok itu tidak dijual dan hanya dijadikan tatapan kepada pelanggan sahaja berikutan nilai kain dan kesukaran untuk diperoleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 3:48 PM
ADNAN sedang melakukan kerja untuk menyiapkan songkok. FOTO Nazdy Harun
ADNAN sedang melakukan kerja untuk menyiapkan songkok. FOTO Nazdy Harun