Lokasi empat penyelam warga asing hilang di Pulau Tokong Sanggol,  Mersing. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Lokasi empat penyelam warga asing hilang di Pulau Tokong Sanggol, Mersing. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Omar Ahmad.


Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu.

Baginda turut bertitah agar peraturan berkaitan aktiviti menyelam dikaji semula secara menyeluruh.

Titah itu susulan kehilangan empat penyelam warga asing di sekitar Pulau Tokong Sanggul berhampiran Pulau Sibu, semalam.

"Saya mahu kesemua aktiviti menyelam dihentikan sementara sehingga kita dapat kenal pasti apa sebenarnya yang berlaku pada mereka. Aktiviti menyelam tidak boleh diteruskan jika tahap keselamatan diragui.

"Peraturan-Peraturan aktiviti menyelam oleh pihak berkuasa juga mesti dikaji semula secara menyeluruh sebelum ia boleh dibenarkan beroperasi semula," titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah peraturan yang telah dikaji semula juga perlu diumumkan bagi mengembalikan keyakinan orang ramai serta pelancong.

Setakat ini, hanya hanya jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat hari ini di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, kira-kira 30 batu nautika dari lokasi kejadian.

Mersing mempunyai lima pulau utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 6:45 PM