Nazdy Harun


Kuala Nerus: Terengganu sememangnya popular dengan pelbagai kuih-muih tradisional, namun uniknya apabila nama juadahnya melambangkan kenegerian selain loghat sebutannya juga amat dalam.

Pembuat kuih Tok Aji Serebang, Mek Senum Baru Yusuff, 48, berkata kuih itu diperbuat menggunakan beras pulut, telur, santan dan gula melaka atau 'nisan kerek' sebagai bahan utama.

Menurutnya, beras pulut yang direndam dan dicuci akan dikukus sehingga masak dengan santan bersama sedikit garam.

"Manakala bahagian manisan pula, kita perlu memasak gula melaka dicampur dengan telur sebagai bahan asasnya.

"Apabila pulut sudah masak, ia perlu ditekan bagi mengemaskan struktur pulut terbabit dan kemudian manisan dicurahkan bagi menjadikan ianya kelihatan dua lapis," katanya.

Nor Khaleeda Muhamad, 30 menunjukkan Kuih Tok Aji Sereban yang dijual kepada pelanggan ketika tinjauan di Bazar Ramadan Batu Enam. FOTO GHAZALI KORI
Nor Khaleeda Muhamad, 30 menunjukkan Kuih Tok Aji Sereban yang dijual kepada pelanggan ketika tinjauan di Bazar Ramadan Batu Enam. FOTO GHAZALI KORI

Menurutnya, di Terengganu kebiasaannya kuih ini dipanggil tok aji serebang, namun di tempat lain difahamkan ia dipanggil kuih seri muka.

Katanya, perbezaannya kedua-dua kuih itu adalah bahagian manisan di mana tok aji serebang berwarna coklat, manakala seri muka pula bahagian atasnya berwarna hijau.

"Kombinasi pulut dan manisan apabila dikunyah akan memberi rasa enak kerana pulut dimasak dengan santan manakala gula melaka ditambah dengan telur.

"Tok aji serebang kalau nak sedap kena letak telur dan santan banyak, barulah rasanya lemak-lemak manis berkrim.

"Resepi turun temurun ini saya aplikasi dalam pembuatan tok aji serebang untuk jualan setiap hari di Pasar Batu Enam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 3:30 PM