Noor Hidayah Tanzizi


Bota: Kuih cecemek dan kuih suji antara manisan masyarakat Perak Tengah boleh dianggap sebagai pemanis mulut setahun sekali kerana ia hanya banyak dibuat dan dijual pada Ramadan saja.

Pembuat kuih suji, Shaari Mahmud, 80, berkata kuih berkenaan adalah warisan masyarakat di Lambor Kanan, dan ia hanya boleh didapati di kampung berkenaan.

Katanya, manisan yang dibuat daripada tepung suji, susu, gula, garam dan minyak sapi itu juga sering dianggap puding jagung atau dadih oleh generasi kini kerana teksturnya berwarna kuning dan diletakkan dalam bekas plastik.

"Cara masaknya agak lama serta perlu dikacau selalu seperti dodol kerana mahu adunannya likat dan berketul. Kuih suji sudah ada sejak lama dahulu yang diletakkan dalam tong susu, cuma sekarang saja kita letak dalam bekas plastik.

"Rasanya lemak manis tetapi sayangnya generasi kini tidak berapa menggemarinya dan ada juga yang kurang tahu mengenai kuih suji," katanya ketika ditemui di gerainya di Batu 17, Kampung Lambor Kanan, di sini, semalam.

Dia yang sudah membuat kuih suji sejak berusia 28 tahun berkata, istimewanya daerah Perak Tengah, pemanis mulut mengikut tempat seperti suji di Lambor Kanan, cecemek di Kampung Gajah dan Pasir Salak, manakala buah kantor pula lebih popular dan banyak didapati di Parit.

SHAARI (kiri) menunjukkan kuih suji yang dibuatnya istimewa untuk jualan berbuka puasa di gerainya di Batu 17, Kampung Lambor Kanan, Bota. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
SHAARI (kiri) menunjukkan kuih suji yang dibuatnya istimewa untuk jualan berbuka puasa di gerainya di Batu 17, Kampung Lambor Kanan, Bota. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Sementara itu, pengusaha kuih cecemek, Hashimah Yon Abdul Talib, 57, berkata penduduk daerah berkenaan lebih mengenali dan mengetahui kewujudan kuih cecemek, malah ia popular di Kampung Gajah dan Pasir Salak.

Menurutnya, cecemek adalah pemanis mulut setiap Ramadan sejak dahulu lagi dan menerima permintaan tinggi hingga kini, malah ada yang datang dari luar daerah ke Kampung Gajah hanya untuk mendapatkannya.

"Cecemek digemari semua lapisan usia kerana rasanya yang manis berlemak dengan tekstur doh yang agak liat daripada tepung pulut," katanya memberitahu cecemek turut dijual pada bulan biasa, namun tidak banyak.

Hashimah berkata, bahan asas cecemek sangat ringkas dengan hanya menggunakan tepung pulut dan sedikit tepung gandum yang akan dibulatkan menjadi doh kecil sebelum dibuat lubang di tengahnya.

Menurutnya, cecemek akan diletakkan dalam bekas daun pisang dan ada yang menyamakan kuih berkenaan dengan kuih sampan atau kuih limas kerana mempunyai bentuk sama tetapi ia mempunyai kelainan tersendiri.

"Dua doh kecil atau lebih diletakkan dalam bekas diperbuat daripada daun pisang dan diletakkan gula serta bancuhan santan sebelum dikukus," katanya yang membuat 200 kuih cecemek untuk jualan di bazar dan gerai kampung setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 2:20 PM