NORZALILA menunjukkan kuih pepena manakala (gambar kanan) dia memasukkan bancuhan santan ke dalam bekas kuih badak kubang sebelum dikukus selama 15 minit. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
NORZALILA menunjukkan kuih pepena manakala (gambar kanan) dia memasukkan bancuhan santan ke dalam bekas kuih badak kubang sebelum dikukus selama 15 minit. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
Ainal Marhaton Abd Ghani


LAZIMNYA kuih tradisional Pahang iaitu kuih pepena, badak kubang dan dodol kukus hanya boleh ditemui di pekan sehari atau pasar pagi di Maran serta Temerloh.

Namun, setiap kali Ramadan, hidangan diberi jolokan ‘kuih tiga beradik’ itu boleh dibeli di Kuantan yang diusahakan pengusaha kuih tradisional, Norzalila Shaari, 41, dan ia pastinya dinantikan pelanggan mahukan sesuatu berlainan untuk berbuka puasa.

Norzalila yang berasal dari Kampung Teluk Melati, Chenor, Maran, berkata sejak 10 tahun lalu, dia menyediakan tiga jenis juadah itu untuk diedarkan ke beberapa peniaga bazar Ramadan yang berminat untuk menjualnya.

Katanya, bermula 8 pagi, dia menyediakan antara 100 hingga 200 bekas kuih berkenaan sebelum diedarkan di empat gerai peniaga bazar Ramadan iaitu di Pantai Selamat Indera Mahkota, Taman Kerang, Kampung Padang dan Indera Mahkota 5.

“Walaupun ramai peniaga berminat menjual kuih-kuih ini, saya terpaksa menolak kerana tidak mampu menyediakannya dalam waktu singkat untuk jumlah yang banyak.

“Malah, saya pernah menerima tempahan 1,000 bekas kuih pepena untuk jamuan Aidilfitri sebuah syarikat korporat tahun lalu,” katanya.

Norzalila berkata, untuk menghasilkan kuih itu dia menggunakan daun pisang dan pandan manakala santan segar diperoleh daripada pembekal tetap.

Beliau berkata, bahan untuk setiap kuih hampir sama kuih iaitu tepung gandum, beras pulut hitam yang dikisar halus, gula merah, gula pasir, santan, kelapa parut untuk inti, air pandan dan daun pisang yang dilayur sebagai pelapik bekas.

“Kuih badak kubang berbentuk bulat dibuat menggunakan tepung pulut dan beras pulut hitam yang dikisar halus berintikan kelapa dan kuahnya pula campuran tepung gandum, santan dan garam yang menerbitkan rasa lemak-lemak masin.

“Kuih pepena berbentuk bintang pula dibuat menggunakan bahan sama membuat badak kubang kecuali kuahnya menggunakan bancuhan tepung gandum, santan, air pandan dan gula pasir.

“Dodol kukus pula teksturnya lebih halus dan lembut serta diletakkan minyak di bahagian permukaan dan menggunakan campuran tepung pulut, santan dan gula merah sama seperti membuat dodol kacau, tetapi yang membezakannya ialah cara memasaknya menggunakan kukus dan tidak dikacau,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga kuih itu dikukus dalam tempoh 15 minit sahaja dan selepas masak dibiarkan sejuk terlebih dahulu sebelum ditutup untuk mengelak daripada berwap dan mudah basi.

Menurutnya, dia menggunakan resepi air tangan ibunya, Aziah Mohd, 67, yang juga pengusaha kuih tradisional Pahang bagi mengekalkan citarasa kuih ‘jaman tori’ itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 12:08 PM