DATUK Seri Alexander Nanta Linggi meninjau harga ayam selepas pelancaran Ops Pantau 2022 di Kuching, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi meninjau harga ayam selepas pelancaran Ops Pantau 2022 di Kuching, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Peniaga khususnya pengusaha premis makanan diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan susulan negara memasuki fasa peralihan endemik bermula Jumaat lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan mengambil langkah itu termasuk membuka sempadan adalah bagi merancakkan semula ekonomi yang suram sejak dua tahun lalu.

Namun, katanya, peniaga tidak harus mengambil peluang dengan menaikkan harga barang sesuka hati dengan alasan untuk turut merancakkan ekonomi.

"Apabila memasuki fasa peralihan ke endemik dan sempadan juga dibuka, jumlah pelawat juga akan bertambah dan pastinya permintaan terhadap barang jualan akan meningkat.

"Sebab itu sejak kerajaan umumkan pembukaan sempadan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan peniaga supaya tidak mengambil peluang untuk menaikkan harga barang," katanya pada sidang media selepas pelancaran Ops Pantau 2022 di CCK Local, City Mall Commercial Centre, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut mengulangi amaran kepada peniaga agar tidak melakukan perkara sama susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini.

"Janganlah ingat pendapatan pengguna naik sedikit, peniaga juga naikkan harga barang.

"Kami akan menjalankan pemantauan agar perkara itu tidak berlaku dan tindakan akan dikenakan terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga barang sesuka hati," katanya.

Mengenai bekalan keperluan utama pada musim perayaan, beliau memberi jaminan ia mencukupi dan Ops Pantau yang dilaksanakan KPDNHEP akan memastikan masalah bekalan tidak berlaku.

"Di Sarawak, kami diberi jaminan oleh pihak pengeluar bahawa bekalan ayam, telur serta daging mencukupi bukan sahaja sepanjang Ramadan dan Aidilfitri malah sehingga perayaan Gawai Dayak nanti.

"Begitu juga dengan bekalan di seluruh negara, KPDNHEP akan membuat pemantauan rapi, membuat kajian serta libat urus dengan pihak industri untuk memastikan bekalan mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 3:30 PM