MUHAMAD Zikril Azan (dua kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengguna, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kanan) turun padang meninjau Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam. FOTO ihsan KPDNHEP Selangor
MUHAMAD Zikril Azan (dua kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengguna, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kanan) turun padang meninjau Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam. FOTO ihsan KPDNHEP Selangor
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengesan 51 kes menerusi Ops Pantau sempena Ramadan yang berkuat kuasa sejak 3 April lalu di seluruh Selangor.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi pemantauan sempena Ramadan itu membabitkan 5,705 premis perniagaan.

"Sepanjang pemeriksaan di bawah Ops Pantau, KPDNHEP Selangor menghasilkan sejumlah 51 kes iaitu harga (29 kes), timbang sukat (14 kes), bekalan (tujuh kes) dan satu kes halal.

"Kes ini membabitkan sejumlah nilai rampasan RM811,717.70 dengan nilai kompaun RM18,100.

"Sepanjang pelaksanaan Ops Pantau sejumlah tujuh premis diberi amaran supaya mematuhi keperluan di bawah Ops Pantau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, pemeriksaan pematuhan Ops Pantau kali ini mensasarkan premis jualan di bazar Ramadan yang menjual makanan seperti juadah berbuka puasa, kuih-muih dan makanan sedia masak.

"Perhatian diberikan terhadap pematuhan penandaan harga oleh penjual bagi memastikan pengguna mendapat maklumat harga yang jelas dan dapat membuat penilaian serta keputusan pembelian.

"Ops Pantau dijalankan secara harian di Selangor bagi memantau pergerakan harga dan bekalan di pasaran sepanjang bulan Ramadan.

"Pemantauan ini dipergiatkan, memandangkan peniaga di Selangor sedang merancakkan ekonomi yang kini dalam fasa endemik Covid-19 sejak 1 April lalu," katanya.

Beliau berkata, lokasi tumpuan di bawah Ops Pantau meliputi bazar Ramadan, pasar raya, pasar awam/basah/pagi, pasar raya terpilih, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.

"Fokus pemantauan membabitkan aspek harga, bekalan, aktiviti jualan murah, alat timbang, barangan tiruan/ cetak rompak, penggunaan perbahasaan halal, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2022 yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat dan pematuhan SOP di bawah Akta 342.

"Adalah diingatkan, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan di bawah Ops Pantau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 8:26 PM