DATUK Mohamed Husein (kanan) bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Mohd Zaidi Ramli (kiri) pada sidang akhbar pelaksanaan solat jumaat dan solat sunat hari raya aidilfitri di Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
DATUK Mohamed Husein (kanan) bersama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Mohd Zaidi Ramli (kiri) pada sidang akhbar pelaksanaan solat jumaat dan solat sunat hari raya aidilfitri di Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


MAJLIS Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yakin sasaran kutipan zakat fitrah tahun ini mampu menyamai kutipan tahun lalu sekitar RM5 juta, walaupun tanpa melalui ejen atau amil.

Pengerusi MAINS, Datuk Mohamed Husein berkata, tahun lalu sebanyak RM4.9 juta zakat fitrah dapat dikutip.

Beliau berkata, setakat ini sambutan diterima daripada masyarakat Islam amat baik dan memberangsangkan apabila kutipan mencecah RM2 juta sehingga hari ini.

"Setakat ini, Perbadanan Baitulmal (PBMains) yang menjalankan tugas kutipan zakat fitrah menawarkan pembayaran melalui dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dikuatkuasakan.

"Bagaimanapun, mulai semalam, kami membuka pejabat kutipan zakat di setiap daerah bagi memudahkan masyarakat Islam di Negeri Sembilan yang menghadapi kesukaran menunaikan Rukun Islam Keempat itu melalui dalam talian.

"Pejabat ini dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 4 petang," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MAINS, di Seremban, hari ini.

MAINS menetapkan kadar fitrah pada tahun ini di Negeri Sembilan adalah RM7 seorang dengan bayaran boleh dibuat melalui lima saluran online iaitu portal www.zakatns2u.biz/fitrah, myEG, aplikasi PBMains, SnapNPay dan JomPAY.

Mohamed berkata, Perbadanan Baitulmal akan membuka kaunter zakat (mobile) di beberapa masjid terpilih di setiap daerah mulai esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 5:56 PM