Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Dakwaan pelaksanaan program Keluarga Malaysia menyebabkan bekalan minyak masak peket di pasaran kurang adalah tidak berasas, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Menurutnya, hanya sebilangan kecil syarikat pembungkusan semula yang terbabit untuk pembekalan bagi program itu, manakala kira-kira enam syarikat di setiap negeri melakukan urus niaga untuk pasaran tempatan.

Katanya, pihaknya mengesan faktor lain yang menyumbang kepada masalah kekurangan minyak masak peket untuk kumpulan B40, antaranya monopoli daripada pengguna industri, selain belian oleh golongan T20 dan M40.

"Kerajaan memperuntukkan sebanyak 60,000 tan minyak masak bersubsidi sebulan buat kumpulan B40, namun diambil kesempatan oleh golongan berkenaan.

"Selain itu, kegiatan penyeludupan bekalan ke negara jiran turut menyumbang kepada masalah ini, tetapi hasil usaha agensi keselamatan yang mengawal sempadan membolehkan kes dikurangkan," katanya hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Beliau ditemui selepas Lawatan Kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini yang turut dihadiri Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam. Rosol berkata, kerajaan menanggung subsidi lebih RM3 bagi sekilogram minyak masak peket yang dijual pada harga RM2.50 dan keseluruhan jumlah ditanggung agak besar.

Mengenai isu kelewatan bayaran balik tuntutan subsidi kepada syarikat pembungkusan semula minyak masak, katanya, perkara itu sudah pun diselesaikan.

"Buat masa ini, terdapat lebih 300 syarikat ini di seluruh negara dan sehingga semalam, sembilan syarikat telah diambil tindakan kerana menyeleweng," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 2:55 PM