MINYAK masak peket. FOTO Hairul Anuar Rahim
MINYAK masak peket. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Bekalan minyak masak peket di seluruh negara masih mencukupi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata, kekurangan sebelum ini berlaku namun kini dapat diatasi semula.

Menurutnya, mungkin ada beberapa kawasan yang mengalami kekurangan stok minyak masak peket kerana pembelian dalam jumlah yang besar.

"Setakat ini kementerian tidak menerima maklumat mengenai kekurangan stok minyak masak peket.

"Kementerian juga akan pastikan bekalan sentiasa mencukupi khususnya ketika umat Islam akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Rantaian pembekalan dan jualan minyak masak peket juga diingatkan agar tidak menyimpan stok sehingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kekurangan stok minyak masak peket diminta tampil memaklumkan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.

Semalam media melaporkan minyak masak peket bersubsidi habis di beberapa lokasi di Johor sejak dua minggu lalu.

Beberapa kedai dan pasar raya mendakwa kehabisan stok minyak masak peket berikutan permintaan yang tinggi dan bekalan yang tidak banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 4:35 PM