PENGEMBARA dari Singapura yang tiba di Johor sempena pembukaan sempadan tepat jam 12.00 tengah malam berhampiran Stesen Minyak di Jalan Lingkaran Dalam, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENGEMBARA dari Singapura yang tiba di Johor sempena pembukaan sempadan tepat jam 12.00 tengah malam berhampiran Stesen Minyak di Jalan Lingkaran Dalam, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tambak Johor merekodkan kemasukan kenderaan persendirian luar biasa bermula tengah malam tadi sehingga kira-kira jam 4 pagi tadi.

Tinjauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Checkpoint Woodlands, tengah malam tadi mendapati laluan masuk ke Tambak Johor mengalami pertambahan kenderaan persendirian yang mendadak susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura bermula 12.01 tengah malam tadi.

Barisan dan deretan kenderaan yang dilihat mula berbaris sejak 10.30 malam tadi menyebabkan laluan memasuki ke Tambak Johor mengalami kesesakan yang pertama kali dicatatkan, sejak penutupan sempadan pada 18 Mac 2020 lalu.

Penyelia tapak pembinaan di Singapura, Fajrul Rizal Abu Bakar, 28, berkata, rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu merindui suasana kesesakan di Tambak Johor seperti dilalui sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Katanya, sebelum pandemik Covid-19 melanda ramai pekerja Malaysia termasuk dirinya, sering merungut terpaksa menempuh kesesakan setiap hari ketika pergi kerja seawal pagi dan pulang semula ke Johor Bahru.

"Namun apabila kami terkandas di Singapura lebih dua tahun barulah saya dan rakyat Malaysia yang lain merindui detik-detik itu.

"Apabila sempadan dibuka dengan ribuan kenderaan sesak bermula jam 10.30 malam tadi menuju ke Checkpoint Woodlands bagi merentas Tambak Johor, kami sebenarnya amat bersyukur.

"Kami lebih rela terperangkap dalam kesesakan lalu lintas teruk di Tambak Johor dari terpaksa berpisah dengan keluarga tercinta bertahun-tahun lamanya," katanya ketika ditemui tengah malam tadi.

Dalam pada itu, Fajrul Rizal berkata, ramai rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura yang berjalan kaki melintas Tambak Johor sudah mula beratur seawal 9.30 malam tadi.

"Kami hanya dilepaskan pihak berkuasa Singapura untuk melintas Tambak Johor bermula jam 10.50 malam sebelum tiba untuk pemeriksaan di CIQ Johor Bahru, pada 11.30 malam tadi.

"Luar biasa sekali perasaanya apabila dapat beratur dan berjalan beramai-ramai selepas dua tahun kami terkandas di Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 9:55 AM