MASJID Jamek Seremban antara destinasi yang boleh dilawati oleh para pengunjung luar atau dalam negara sekiranya mengunjungi Negeri Sembilan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020). FOTO BERNAMA
MASJID Jamek Seremban antara destinasi yang boleh dilawati oleh para pengunjung luar atau dalam negara sekiranya mengunjungi Negeri Sembilan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020). FOTO BERNAMA
BERNAMA

TOURISM Malaysia memberi tumpuan kepada pelancongan domestik bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) yang ketika ini dilihat terganggu oleh isu kesihatan global susulan penularan Covid-19.

Ketua Pengarahnya Datuk Musa Yusof berkata, langkah itu mampu meningkatkan pendapatan negara, memandangkan statistik prestasi pelancongan mendapati 86 peratus daripada mereka yang menginap di hotel seluruh negara adalah rakyat Malaysia sendiri.

Malah lebih RM70 bilion dibelanjakan oleh pelancong tempatan tahun lalu menerusi aktiviti membeli-belah, hiburan, sukan dan penginapan.

Justeru menurutnya, Tourism Malaysia akan memberi fokus kepada dua kategori utama pelancongan domestik, membabitkan percutian keluarga dan syarikat dalam negara yang merancang aktiviti untuk kakitangan mereka.

“Pelancongan domestik ini sangat penting kerana ia diusahakan oleh rakyat Malaysia sendiri di mana keluarga besar atau kecil berbelanja dengan melakukan perjalanan dalam negara terutamanya pada musim cuti sekolah, festival dan perayaan untuk melihat tempat-tempat menarik yang terdapat di negara ini.

"Selain itu, kita juga menggalakkan syarikat-syarikat untuk mengadakan sesi ‘team building’, hari keluarga mahupun kursus atau latihan kepada pekerja mereka di hotel-hotel yang menawarkan kemudahan lengkap untuk tujuan itu,” katanya semalam.

Jelasnya empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang tersenarai sebagai negeri penjana pelancong di mana ramai penduduknya keluar melancong, sementara Melaka, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak adalah negeri yang menerima ramai kemasukan pelancong.

Sehubungan itu beliau meminta pemain industri seluruh negara menawarkan pakej-pakej pelancongan yang menarik dan berpatutan untuk sama-sama menjayakan VM2020 sekaligus meningkatkan industri pelancongan negara.

Menurut Musa, kejayaan kempen VM2020 juga tidak hanya bergantung kepada satu pasaran sahaja, sebaliknya Tourism Malaysia juga mengambil langkah berganding bahu dan bekerjasama untuk menaikkan taraf pelancongan serantau bersama negara Asia Tenggara, memandangkan 69 peratus pelancong asing ke Malaysia adalah dari rantau itu.

“Malaysia dan negara ASEAN yang lain memberikan kerjasama yang erat terutamanya dengan Singapura, Indonesia dan Thailand, di mana kita mewujudkan ‘twin destination programmes’ yang menggabungkan destinasi menarik antara dua negara untuk menggalakkan kemasukan pelancong antara kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 5:38 PM