Loji kumbahan yang rosak dan terbiar sejak 22 tahun di Taman Sinaran Kempas. FOTO OMAR AHMAD
Loji kumbahan yang rosak dan terbiar sejak 22 tahun di Taman Sinaran Kempas. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Lebih 500 keluarga di Taman Sinaran Kempas di sini, terpaksa menahan bau busuk selama 22 tahun akibat kerosakan loji kumbahan di kawasan perumahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Taman Sinaran Kempas Mohd Nassir Ahmad berkata, masalah itu berlanjutan sejak 2000.

Katanya, masalah loji kumbahan tidak berfungsi itu berlaku tidak lama selepas penduduk dipindahkan di kawasan terbabit pada 2000.

"Pada tiga tahun pertama, semua penduduk berpakat mengutip wang bagi menyelenggara dan membaik pulih sendiri loji kumbahan terbabit.

"Namun loji kumbahan itu kerap rosak sehingga penduduk tidak mahu pihak komuniti meneruskan kutipan wang bagi menyelenggara loji kumbahan ini.

"Sejak itu, setiap kali hujan, bau busuk memenuhi perumahan ini. Bau busuk datang daripada tandas dan sistem aliran yang gagal mengalir terus ke loji kerana kerosakan sistem loji kumbahan," katanya ditemui hari ini.

Menurut Mohd Nassir, perumahan berkenaan adalah rumah transit yang dibangunkan atas tanah hak milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk penduduk setinggan di tepi rel kereta api yang dipindahkan ketika itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Katanya, rumah, fasiliti dan kemudahan yanh dibangunkan diserahkan kepada penduduk sebaik mereka berpindah.

"Oleh itu, penyelenggaraan loji kumbahan ini tidak berada di bawah tanggungjawab badan atau mana-mana pihak.

"Penduduk tidak mempunyai dana yang besar untuk membaik pulih dan menyelenggara loji kumbahan ini yang sememangnya memerlukan kos besar.

"Kini loji terbabit sudah tidak berfungsi malah kawasan sekitarnya juga sudah ditumbuhi rumput," katanya.

Mohd Nassir berkata, pihaknya sudah mengajukan masalah itu kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Pusat.

Tetapi katanya, disebabkan perubahan pentadbiran kerajaan, masalah loji kumbahan itu terbiar sepi.

"Semua kemudahan ini termasuk loji kumbahan dilepaskan kepada penduduk semata-mata. Kami sudah membuat aduan dan surat permohonan kepada kerajaan negeri dan juga kementerian berkaitan mengenai masalah ini. Tetapi tiada tindakan lanjut.

"Saya mewakili penduduk memohon jasa baik kerajaan atau mana-mana jabatan yang boleh membantu menyelesaikan masalah kami. Tolonglah ganti mesin di loji terbabit atau lantik kontraktor bagi penyelenggaraan loji kumbahan ini.

"Kami penduduk sudah tidak tahan menanggung bau busuk dalam rumah sendiri kerana masalah ini," tambahnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz berkata, dia sudah melawat loji kumbahan terbabit.

"Sudah lebih 20 tahun penduduk di sini menunggu masalah ini dapat diselesaikan namun tiada kesudahan.

"Apabila mereka bawa ke agensi kerajaan, belum ada khabar berita dan jalan penyelesaian daripada mana-mana pihak yang terlibat. Saya akan berusaha untuk membawa isu ini sehingga masalah ini dapat diselesaikan," katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 4:06 PM