Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Bau busuk bukan penghalang kepada orang ramai untuk mengabdikan foto dengan pemandangan indah 'lautan' kiambang di loji kumbahan Jalan Bakar Sampah, Paya Nahu, dekat sini.

Rata-rata pengunjung dilihat sanggup menahan nafas demi mendapatkan gambar menarik dikelilingi bunga yang tumbuh di permukaan kolam.

Difahamkan, kiambang tumbuh sejak beberapa tahun lalu namun kali ini ia meliputi hampir keseluruhan permukaan kolam sekali gus menyerlahkan pemandangan yang indah.

Ditambah dengan kawanan burung berterbangan di kawasan sekitar, ia menjadi pilihan penggemar fotografi untuk merakam gambar kenangan buat mereka.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, dia bersama rakan mengambil kesempatan ke kolam terbabit selepas kerja untuk merakam foto kenangan kerana melihat lokasi itu tular di media sosial.

PEMANDANGAN bunga kiambang yang kembang di kolam kumbahan dekat Jalan Bakar Sampah, Paya Nahu. FOTO Adie Zulkifli
PEMANDANGAN bunga kiambang yang kembang di kolam kumbahan dekat Jalan Bakar Sampah, Paya Nahu. FOTO Adie Zulkifli

"Bila berada di lokasi ini, saya lihat pemandangannya sangat cantik namun untuk mengambil gambar perlu menahan nafas kerana bau yang sangat busuk.

"Memang banyak komen di media sosial mengatakan bau busuk di kawasan itu namun melihatkan keindahannya di depan mata saya pasti ramai akan terpesona dan akan mengabdikan gambar kenangan," katanya.

Berikutan semakin menjadi tumpuan pengunjung yang membanjiri kawasan itu, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) memasang pita keselamatan sementara bagi menghalang orang ramai daripada memasuki jambatan konkrit menuju injap pintu kolam.

Langkah itu diambil bagi mengelak sebarang perkara buruk yang kemungkinan menimpa orang ramai ketika mengambil gambar.

LAUTAN kiambang di loji kumbahan Jalan Bakar Sampah yang menarik perhatian ramai. FOTO Adie Zulkifli
LAUTAN kiambang di loji kumbahan Jalan Bakar Sampah yang menarik perhatian ramai. FOTO Adie Zulkifli

Bagaimanapun, ia dilihat tidak menjadi penghalang buat segelintir pengunjung yang masih bergambar di atas jambatan terbabit kerana pemandangannya yang indah.

Lokasi loji kumbahan itu tular di media sosial baru-baru ini selepas orang ramai dilihat sanggup menahan nafas daripada menghidu bau busuk semata-mata mahu mengabdikan foto dengan pemandangan indah kiambang yang tumbuh di permukaan kolam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 11:38 AM