Ahmad Hasbi

Nilai: Memualkan. Itu keadaan parit yang berbau busuk dengan air kehitaman mengalir dari sebuah taman perumahan ke kawasan tanah persendirian dan rumah penduduk di Kampung Bukit Kader, di sini.

Dakwa penduduk, parit berkenaan sebelum ini hanya alur kawasan paya, namun diperbesarkan pemaju taman perumahan terbabit bagi mengalirkan air longkang menerusi tanah persendirian sebelum masuk sungai utama, Sungai Batang Labu.

Tinjauan wartawan di lokasi pelepasan air berkenaan mendapati, ia keluar betul-betul dari pagar taman perumahan berkenaan berhampiran loji kumbahan.

Malah, pengalaman wartawan berada di lokasi itu selama kira-kira 30 minit menyebabkan rasa pening kepala dan mual dengan bau dari parit berkenaan.

Saleh Jaratin, 64, berkata, parit berkenaan mengalir di atas tanah miliknya, namun berdasarkan pelan pada geran, parit itu tidak wujud sekali gus menimbulkan persoalan.

"Dulu ia hanya alur air di kawasan paya di sini. Sejak taman perumahan berhampiran kampung ini dibangunkan, pemaju dikatakan melebarkannya menjadi parit dan menyalurkan air longkang dan dipercayai turut mengandungi air kumbahan ke kawasan ini.

"Baunya amat meloyakan dengan warna kehitaman selain mengandungi pelbagai sampah. Lebih memeranjatkan saya beberapa kali ternampak najis manusia yang saya percaya berpunca dari loji kumbahan perumahan itu," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sepatutnya pihak pemaju membangunkan longkang atau saliran air yang lebih sistematik yang tertutup tanpa masuk ke kawasan tanah milik penduduk.

SALEH Jaratin menunjukkan keadaan parit yang berbau busuk dengan air kehitaman mengalir dari sebuah taman perumahan ke kawasan tanah persendirian dan rumah penduduk di Kampung Bukit Kader. FOTO Azrul Edham
SALEH Jaratin menunjukkan keadaan parit yang berbau busuk dengan air kehitaman mengalir dari sebuah taman perumahan ke kawasan tanah persendirian dan rumah penduduk di Kampung Bukit Kader. FOTO Azrul Edham

Abdul Jailani Mokhtar, 68, berkata, parit itu mengalir betul-betul berhampiran rumahnya menyebabkan dia sekeluarga tidak selesa keadaan pemandangan dan bau busuk.

"Kami terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang masa kerana bau parit ini. Selera makan terganggu dan jika musim hujan, baunya menyebabkan kami sukar tidur.

"Bau busuk paling kuat antara jam 8 pagi hingga 9 pagi apabila air dari perumahan berkenaan dilepaskan.

"Ia mengalir laju serta berbuih dan bertambah teruk pada waktu panas kerana wapnya naik ke udara," katanya.

Seorang lagi penduduk, Salmah Jamal, 70, yang tinggal di kawasan itu sejak kecil mendakwa sungai utama dan parit berkenaan sebelum ini jernih dan boleh digunakan untuk mandi atau mencuci pakaian.

"Dulu airnya jernih, kami memancing ikan di sini. Namun sejak taman perumahan itu dibangunkan, air mulai keruh dan kehitaman dengan pelbagai sampah seperti lampin pakai buang, tuala wanita, bangkai haiwan dan plastik sampah.

"Baunya memang mengganggu ketenteraman kami di sini. Kami belum pernah membuat aduan mengenai perkara ini, namun meminta kerjasama pemaju supaya lebih bertanggungjawab mengenai permasalahan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 1:27 PM