Ahmad Hasbi


Seremban: Polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus di sini, 21 Mac lalu ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud, Temiang di sini, petang hari ini.

Unit Anjing Pengesan (K9) turut kelihatan di lokasi berkenaan pada 6 petang dipercayai dalam usaha mencari sesuatu yang ada kaitan dengan kes terbabit.

Terdahulu, kelihatan pegawai polis wanita membawa wanita terbabit dengan bertutup kepala dengan kain warna kelabu dan masuk ke kawasan belukar berkenaan.

Pasukan polis dilihat sudah berada di kawasan jalan sunyi dan dikelilingi belukar itu sejak jam 4 petang dan sehingga 7 malam ini masih berada di lokasi.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Che Zakaria Othman mengesahkan pihak polis membawa seorang suspek ke lokasi berkenaan.

Unit K9 turut ke kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud, Temiang di Seremban hari ini untuk siasatan berkaitan penemuan mayat wanita pada 21 Mac lalu. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Unit K9 turut ke kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud, Temiang di Seremban hari ini untuk siasatan berkaitan penemuan mayat wanita pada 21 Mac lalu. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin

"Ada bawa salah seorang suspek. Kami sedang menyiasat berdasarkan apa yang dia beritahu.

"Pihak forensik polis dan doktor patalogi dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban juga ada di sana (lokasi). Kami harap dapat sesuatu, mereka tengah berusaha cari," katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurutnya, sebarang penemuan akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof yang turut berada di lokasi kejadian.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus di sini, terkejut selepas menemui mayat di kawasan gaung.

Selasa lalu, dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun ditahan di dua lokasi di daerah ini kerana disyaki terbabit dengan penemuan mayat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 7:21 PM