Ahmad Hasbi


Seremban: Jenazah Meriammah Abdullah Basam, 29, wanita yang yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, dekat sini, akan dikebumikan pagi esok.

Jenazah Allahyarham Meriammah Abdullah Basam, 29, akan dituntut di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) oleh Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih (PSSK) jam 9 pagi esok.

Pengasas PSSK, Shahrol Muhamad berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada pihak polis bagi menguruskan jenazah wanita berkenaan untuk urusan pengebumian.

"Keluarga arwah menghubungi kami menerusi sebuah pertubuhan anak Sarawak meminta supaya menguruskan pengebumian jenazah Meriammah. Jenazah akan dituntut jam 9 pagi esok di HTJ.

"Kami akan membawa jenazah ke Petaling Jaya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, PJS 7 kira-kira jam 11 pagi," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Shahrol berkata, sebelum ini jenazah Meriammah didapati positif Covid-19 dan pihaknya akan menjalankan proses pengebumian mengikut prosedur ditetapkan bagi mengelak jangkitan wabak berkenaan.

"Semua kos pengangkutan dan pengurusan pengebumian akan ditanggung PSSK. Kami akan menjalankan amanah diberikan pihak keluarga kepada kami sebaik mungkin," katanya.

Harian Metro pada 21 Mac lalu melaporkan seorang lelaki yang mahu merakam gambar ketika berjoging di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus, di sini, terkejut selepas menemukan mayat di kawasan gaung.

Susulan itu, dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun ditahan di dua lokasi di daerah ini kerana disyaki terbabit dengan penemuan mayat berkenaan.

Pada 7 April lalu polis menemukan rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di lokasi pencarian di Jalan Bukit Zamrud, di sini, pagi tadi, selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat Meriammah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 11:12 PM