PROF Madya Dr Awang Azman Awang Pawi. FOTO arkib NSTP
PROF Madya Dr Awang Azman Awang Pawi. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kemelut politik yang berlaku di negara ketika ini seharusnya diselesaikan di meja rundingan antara kerajaan dan pembangkang.

Langkah itu dilihat lebih bersesuaian dalam suasana ekonomi yang tidak stabil, malah bukan saja memberi manfaat kepada politik, tetapi juga rakyat.

Bagaimanapun, Penganalisis Politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kedua-dua pihak itu diakui sukar berdamai, yang cenderung disebabkan ego sesebuah parti politik dan sikap tidak mahu membawa perkara ke meja rundingan.

"Ketika keadaan politik tidak stabil sepatutnya ditangani dengan rundingan sesama mereka dan mencari penyelesaian secara baik.

"Buat satu perjanjian bersama (CA) untuk kedua-dua pihak mendapat manfaat antaranya memberi peruntukan yang sama kepada pihak kerajaan dan pembangkang.

"Kalau mereka buat begitu, maka Parlimen tidak perlu bubar kerana adanya peruntukan sama rata dan wakil rakyat boleh memberi perkhidmatan kepada pengundi di kawasan masing-masing," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tuntutan Umno supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan selepas tempoh darurat tamat sama ada pada 1 Ogos atau tarikh sebelumnya, jika darurat ditamatkan lebih awal.

Usul sebulat suara itu diumumkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, semalam.

Usul kedua itu turut menyatakan bahawa Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) akan meletak jawatan sebaik Parlimen dibubarkan.

Ditanya mengenai keperluan diadakan PRU-15 pada masa ini, Dr Awang Azman berkata, ia bukan halangan dengan mengambil contoh negara jiran, Singapura yang mengadakan pilihan raya meskipun berdepan pandemik Covid-19.

"Janganlah sampai bubar Parlimen dalam keadaan sekarang. Kita tidak mahu Covid-19 dipolitikkan sebaliknya selesaikan isu politik dengan cara rundingan yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 2:37 PM