KHAIRY menyampaikan sijil MyCHAMPION kepada wakil Duta Kenali Ubat Anda. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong (kanan) dan Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Suraiya Syed Mohamed (kiri). FOTO Bernama
KHAIRY menyampaikan sijil MyCHAMPION kepada wakil Duta Kenali Ubat Anda. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong (kanan) dan Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Suraiya Syed Mohamed (kiri). FOTO Bernama
KHAIRY berucap pada majlis pelancaran 'MyCHAMPION - Community Health Agent' Peringkat Kebangsaan 2022. FOTO Bernama
KHAIRY berucap pada majlis pelancaran 'MyCHAMPION - Community Health Agent' Peringkat Kebangsaan 2022. FOTO Bernama
Noor Atiqah Sulaiman


Sepang: Tindakan pembangkang yang tidak menyokong usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk tempoh lima tahun lagi di Dewan Rakyat baru-baru ini tidak melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara berkenaan ada dibincangkan bersama jemaah menteri dalam Mesyuarat Kabinet semalam dan berpendapat MoU itu hanya terpakai kepada undang-undang atau rang undang-undang yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan kepada kerajaan.

"Ia sama ada rang undang-undang pembekalan atau lebih dikenali sebagai Bajet, Belanjawan atau usul tidak percaya. Kalau undang-undang biasa ia tidak akan terpakai termasuklah usul Sosma ini.

"Mereka cuma tidak menyokong usul di dalam Sosma itu, iaitu perlanjutan peruntukan penahanan 28 hari tanpa bicara. Bukannya mereka (pembangkang) sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan.

"Malah pembangkang ini juga turut menyebut bahawa mereka tidak bermaksud untuk menarik sokongan kepada MoU," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Malaysian Health Community Agent (MyCHAMPION) Peringkat Kebangsaan, di Sepang, hari ini.

Rabu lalu, usul Sosma gagal diluluskan berikutan keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 tidak menyokong, selain 50 tidak hadir.

Subseksyen 4(5) Sosma bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas di bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu ditangkap dan ditahan di bawah Sosma sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma selepas 31 Julai depan.

Sebelum ini, beberapa pihak berkata, tindakan Ahli Parlimen Pembangkang berkenaan menunjukkan bahawa mereka melanggar MoU yang dimeterai dengan kerajaan dan menyebabkan perjanjian itu terbatal serta membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 dilaksanakan segera.

Dalam pada itu, mengulas mengenai MyCHAMPION, Khairy berkata ia adalah salah satu program di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan menyatukan semua sukarelawan melalui satu portal pendaftaran.

Menerusi MyCHAMPION, Khairy memaklumkan sukarelawan berkenaan akan dilatih serta diperkasa dalam aspek kesihatan merangkumi budaya hidup sihat, amalan norma baharu, kawalan kesihatan kendiri, pengambilan vaksin, penjagaan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan, isu kesihatan mental dan usaha menjayakan generasi bebas merokok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 3:04 PM