Foto hiasan
Foto hiasan
Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: Kerjasama antara kerajaan dan pembangkang perlu dinilai semula, selepas blok pembangkang pada semalam bertindak menolak usul oleh kerajaan bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi, yang menyebabkan usul itu gagal diluluskan di Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada September tahun lalu, terbukti gagal berfungsi seperti yang diharapkan.

Menurutnya, kegagalan usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin adalah sesuatu yang tidak dijangka dan disifatkan beliau tidak diuruskan dengan strategik sebelum dibentangkan serta sambil lewa.

"Ini agaknya, semua beranggapan sudah wujud persefahaman yang jelas antara kerajaan dan pembangkang dalam hal atau usul yang membabitkan reformasi undang-udang serta dasar, khususnya seperti yang dizahirkan dalam Perkara 3 MoU antara kerajaan dan pembangkang.

"Semua yang berlaku ini menunjukkan dengan jelas, kerjasama dan persefahaman kerajaan dan pembangkang sebenarnya sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan.

"Adalah tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman itu sebenarnya gagal berfungsi seperti yang diharapkan," kata Mohamad melalui Facebooknya hari ini.

Dewan Rakyat pada semalam gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 untuk tempoh lima tahun lagi.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Kegagalan usul itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Mohamad berkata, kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan MoU seumpama itu sangat berisiko terutama dengan PH yang disifatkan beliau tidak boleh dipercayai dan sering mungkir janji.

"Sesi Parlimen petang semalam terbukti, mereka tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka.

"Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan serta secara langsung mewajarkan kerajaan untuk menilai semula kedudukan kerjasamanya dengan PH.

"Mungkin sudah tiba masanya kerajaan bergerak ke hadapan dan tidak perlu lagi menunggu MoU itu matang pada Julai ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 11:04 AM