Hamzah (tengah) hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) merasmikan pelancaran PDRM RMPTV pada Perbarisan Peringatan  Hari Polis Ke-215 Tahun 2022, di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Hamzah (tengah) hadir sama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) merasmikan pelancaran PDRM RMPTV pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022, di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Saya terkilan dengan tindakan ahli parlimen, termasuk pihak kerajaan sendiri. Ketika dalam dewan berbelah bahagi, tapi bila nak undi keluar (dewan). Pembangkang tu satu bab, mereka memang main politik semata-mata.

"Hikmahnya, Allah SWT nak tunjuk kepada kita semua ada kumpulan yang mengaku sayangkan negara tapi rupanya tidak," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau mengulas mengenai kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas Dewan Rakyat menolak usul berkenaan, pada Selasa.

Hamzah berkata, tindakan ahli parlimen terbabit tidak bertanggungjawab dalam isu menjaga keselamatan dan keamanan negara daripada sebarang kegiatan jenayah termasuk ancaman pengganas.

Beliau menegaskan, Sosma yang dikuat kuasa selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 adalah bertujuan menjalankan pencegahan untuk melindungi negara dan rakyat.

"Apabila kita hapuskan ISA, ketika itu ada beberapa peristiwa dan jenayah terancang yang berlaku. Maka sebab itu, kita fikir instrumen yang mustahak kena ada. Akhirnya kita melaksanakan Sosma dengan memberi 28 hari (tahanan) yang kompromi untuk semua pihak.

"Julai tahun ini tamat, bermakna akta itu masih ada cuma prosedur 28 hari tidak ada lagi. Jadi kalau kita nak tangkap jenayah yang ada sindiket besar yang ramai, perlu menggunakan Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan dibawa ke majistret. Apa akan jadi?

"Sebab itu kita nak 28 hari tu kita buat siasatan satu persatu dan mengumpul segala bukti yang ada," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sempena Peringatan Hari Polis Ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Terdahulu, Hamzah mengemukakan usul itu dan dibahaskan oleh 19 ahli parlimen.

Bagaimanapun, usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 ahli parlimen menyokong manakala 86 lagi tidak menyokong, selain 50 tidak hadir.

Subseksyen 4(5) Sosma bagi membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas di bawah subseksyen itu, untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah Sosma sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Sementara itu, ditanya mengapa sebahagian ahli parlimen keluar dewan ketika undian dibuat, Hamzah berkata, mereka tidak sukakannya.

Namun, beliau berkata tidak putus asa sebaliknya akan mengusulkan semula akta berkenaan untuk mendapat persetujuan daripada Dewan Rakyat untuk disambung sebelum tamat pada Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 12:41 PM