Cyberjaya: Peneraju syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari China, Huawei akan membantu meningkatkan kemahiran graduan negara ini dalam bidang itu menerusi program Pensijilan Rangkaian Siswazah Diperakui Huawei (HCNG).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, graduan yang dipilih ke program daripada Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Beliau berkata, penuntut yang terpilih akan menimba ilmu dan pengalaman selama 45 hari sepanjang program berkenaan berlangsung di Pusat Latihan Global Huawei, di sini.

“Program ini direka bentuk untuk meningkatkan kemahiran profesional dalam kalangan siswazah menerusi kurikulum berasaskan industri bagi memberi pendedahan dan aplikasi praktikal.

“Jika dilihat situasi kini, penuntut kita bukan saja bersaing dengan rakan mereka di pasaran tempatan, tetapi dengan bakat lain di seluruh dunia,” katanya pada majlis pelancaran HCNG di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Abraham Liu.

Menerusi program itu, Huawei turut menyediakan akses bahan latihan dan makmal serta peralatan dan pengalaman di lapangan untuk meningkatkan keupayaan praktikal pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 9:51 AM