GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kangar: Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNP) menasihati pengunjung Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang karnival itu.

Pengarahnya Dr Sirajuddin Hashim turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghisap rokok di kawasan kompleks kerana premis itu adalah kawasan larangan merokok.

"JKNP meminta kerjasama orang ramai agar terus mengikut SOP iaitu mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera dan memakai pelitup separuh muka sepanjang berada di tapak karnival.

"Kami harap orang ramai patuh terhadap peraturan ini agar tidak dikompaun," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Sirajuddin berkata, JKNP menempatkan 25 penguat kuasa bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP.

Mereka yang tidak mematuhi SOP boleh dikompaun mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.

Perokok pula boleh dikompaun mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 kerana merokok di tempat larangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 12:57 PM