FOTO Ihsan Facebook Rasmi SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
FOTO Ihsan Facebook Rasmi SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mahu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu dilantik bekerja dalam satu pasukan demi kepentingan rakyat.

Baginda bertitah, barisan EXCO perlu sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

“Sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaiknya. Bekerjasama sebagai satu pasukan dalam memastikan ekonomi dan kepentingan negeri Johor sentiasa terpelihara.

“Anda semua berperanan untuk menyatu-padukan semula rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini,” titah Sultan Ibrahim yang dimuatnaik di akaun Facebook rasmi baginda, hari ini.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pagi tadi.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor,Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Turut berangkat, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Pagi tadi, 10 EXCO mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor,Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene membabitkan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang); Ayub Jamil (BN- Rengit), Zaiton Ismail (BN- Sungai Balang); Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN- Layang-Layang) dan R Vidyananthan (BN-Kahang).

Turut mengangkat sumpah, Mazlan Bujang (BERSATU-Puteri Wangsa), Mohd Solihan Badri (BERSATU-Tenang); Tosrin Jarvanthi (BERSATU-Bukit Permai), Mohd Izhar Ahmad (BERSATU-Larkin) dan Dr Chong Fat Full (Bebas- Pemanis).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 2:09 PM