TANGKAP layar berhubung laporan portal berita berhubung warna air tasik Bukit Cherakah berwarna seperti the tarik'. FOTO ihsan PEMBACA
TANGKAP layar berhubung laporan portal berita berhubung warna air tasik Bukit Cherakah berwarna seperti the tarik'. FOTO ihsan PEMBACA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pelik apabila air tasik Bukit Cherakah, Seksyen U10 di sini, yang dahulunya biru kehijauan bertukar keruh tanpa diketahui punca jelas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, pihaknya maklum berhubung perkara itu dan kini sedang dalam siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

"LUAS sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara ini," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa kawasan tadahan air di situ sangat tercemar akibat hakisan tanah yang berlaku.

Portal itu melaporkan, penduduk mendakwa hakisan tanah berpunca daripada pembangunan di belakang kawasan kejiranan Perdana Heights di Shah Alam.

Laporan itu memaklumkan, penduduk turut mendakwa air tasik yang dahulunya biru kehijauan kini bertukar menjadi 'kolam teh tarik' dan dikaitkan dengan pembalakan.

Mengulas mengenai perkara itu katanya, Selangor tidak membenarkan aktiviti pembalakan selama 25 tahun sejak 2010 sebagaimana pengumuman Menteri Besar Selangor ketika ucapan Bajet 2010 yang dibentangkan pada 10 November 2009 lalu.

"Kerajaan negeri mempunyai polisi moratoruim pembalakan selama 25 tahun bermula tahun 2010 sehingga 2035. bermakna, tiada aktiviti pembalakan dibenarkan di Selangor selama tempoh itu.

"(122) Pada tahun 2010, Kerajaan negeri akan memperkenalkan satu moratorium 25 tahun terhadap pembalakan hutan dan bakau simpanan. Ini adalah kerana kita sudah terlalu lama melihat hutan dan bakau dari aspek keuntungan melalui aktiviti pembalakan semata-mata. Sebaliknya kita lupa bahawa hutan adalah sumber oksigen dan air untuk kita meneruskan hidup." katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan mengenainya.

"Kita perlu siasat dulu sebab sebelum ini airnya tidaklah seteruk itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 5:40 PM