FOTO NSTP
FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Ibu bapa atau penjaga kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah dan individu dewasa yang sudah mengambil suntikan dos penggalak diminta mengabaikan pautan janji temu dos keempat yang dihantar menerusi MySejahtera.

Unit MySejahtera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan menjelaskan, kesilapan itu berlaku memandangkan janji temu dalam sistem MySejahtera dihantar secara automatik.

Katanya, berlaku isu teknikal di mana sistem itu menghantar pautan janji temu untuk dos penggalak kepada dua golongan berkenaan.

"Sekiranya anda telah pun membuat janji temu dos penggalak untuk tanggungan anda atau untuk dos keempat melalui pautan yang dihantar, sila batalkan janji temu itu dan tidak perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"PPV telah dimaklumkan tentang perkara ini dan mereka akan menolak kehadiran remaja dan individu yang hadir untuk dos penggalak kedua atau dos keempat.

"Pasukan teknikal MySejahtera sedang memperbetulkan perkara ini dan memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul daripada masalah teknikal ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, dasar KKM buat masa ini menyarankan dos penggalak hanya diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun ke atas dan tiada dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 4:19 PM