GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad.
GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Seramai 517,107 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mendaftar untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids) yang akan dilaksanakan mulai esok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, data terkini setakat Selasa lalu itu menunjukkan satu permulaan yang baik untuk memastikan kanak-kanak di negara ini turut dilindungi daripada jangkitan Covid-19.

Katanya, Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) serta Kementerian Pendidikan (KPM) akan berusaha keras untuk memastikan sasaran 4.1 juta kanak-kanak menerima vaksinasi Covid-19 dapat dicapai.

"Saya berharap hampir separuh daripada kanak-kanak di Malaysia akan divaksin pada penghujung Februari ini.

"Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan terus menyampaikan manfaat mengambil vaksin," katanya menerusi Twitter hari ini.

PICK Kids akan dilaksanakan secara berperingkat bermula di Lembah Klang mulai esok.

Khairy berkata, pautan tempahan vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu sedang diberikan secara berperingkat bagi mereka yang mendaftarkan anak masing-masing melalui aplikasi MySejahtera.

"Tarikh temu janji diberikan berdasarkan tarikh pendaftaran.

"Ibu bapa yang belum menerima pautan, jangan risau. Kamu akan menerimanya (tarikh) tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter berkata, orang ramai perlu mengemaskini aplikasi MySejahtera masing-masing kepada versi yang terkini serta patuhi langkah membuat janji temu vaksinasi kanak-kanak.

"Selepas mendaftarkan anak anda, sila tunggu untuk menerima pautan tempahan janji temu.

"Link (pautan) pendaftaran akan diberikan berperingkat. Ibu bapa boleh memilih PPV (Pusat Pemberian Vaksin), masa dan tarikh yang bersesuaian melalui link ini," katanya.

Sistem tempahan melalui aplikasi MySejahtera untuk PICK Kids mula dibuka sejak penghujung Januari lalu.

KKM mensasarkan 70 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan diberikan dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh dua bulan selepas PICK Kids dijalankan serta 80 peratus menerima dos lengkap bagi tempoh enam bulan pelaksanaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 1:40 PM