AHMAD Zahid ketika menyampaikan ucapan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021. FOTO Bernama
AHMAD Zahid ketika menyampaikan ucapan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sebelum atau selepas Julai ini. Itu jangkaan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukannya.

Menurutnya, tempoh itu bersandarkan tempoh akhir melalui Perjanjian Bersama (CA) antara kerajaan dan parti pembangkang pada 31 Julai ini.

"Umno tidak menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen kerana menghormati keputusan Kabinet yang dianggotai pelbagai parti selain Barisan Nasional (BN).

"Kami memahami peraturan dan Perlembagaan kerana Perdana Menteri perlu bawa perkara ini dalam mesyuarat Kabinet sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

"Soal waktu sama ada sebelum atau selepas Julai akan dijadikan pertimbangan politik untuk Perdana Menteri tentukan," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Umno 2021 (PAU 2021), di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.

PAU 2021 yang bermula Rabu lalu melabuhkan tirai petang ini dengan dihadiri lebih 5,000 perwakilan dan ahli Umno seluruh negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan lima pemimpin utama Umno akan terus berbincang mengenai hala tuju parti dan isu rakyat sekurang-kurangnya setiap satu bulan setengah.

Katanya, bagaimanapun pertemuan antara Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden Umno itu tidak didedahkan kepada umum.

"Naratifnya tidak diumumkan kepada umum namun kita rasa kebersamaan pemimpin dalam Umno kerana konsep syura yang diamalkan.

"Pertemuan itu bagi mencari penyelesaian isu parti dan berkaitan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 7:37 PM