BERNAMA

Kuala Langat: Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan hampir 14,000 guru sudah ditempatkan setakat ini menerusi pengambilan secara one-off yang dilaksanakan kementerian itu bagi mengatasi masalah kekurangan guru.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, lebih 4,000 guru lagi sedang dalam proses untuk ditempatkan, berdasarkan 18,702 jumlah guru yang diperuntukkan bagi pengambilan tersebut.

"Dengan pengambilan baharu (one-off) ini, kami akan beri keutamaan pergerakan kepada guru yang sudah lama (untuk dipindahkan) sebelum kami bawa masuk guru baharu di kawasan yang mana permohonan untuk pertukaran itu tinggi," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sekolah Menengah (SMK) Bandar Saujana Putra, di sini hari ini.

Radzi berkata, susulan pengambilan guru baharu itu, permohonan pertukaran guru adalah antara yang tertinggi pernah diluluskan dalam sejarah iaitu lebih daripada 55 peratus.

Mengulas berhubung takwim pembelajaran akademik bagi penggal 2022/2023, Radzi berkata, setakat ini kalendar itu masih dikekalkan walaupun negara bakal memasuki fasa peralihan endemik 1 April ini.

Mengulas berhubung pengoperasian SMK Bandar Saujana Putra, Radzi berkata, seramai 988 pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dijadualkan memulakan persekolahan di sekolah itu pada 21 Mac depan.

Media sebelum ini melaporkan SMK Bandar Saujana Putra yang pembinaannya diteruskan pada 2020 selepas terbengkalai sejak 2019, telah siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada Mac ini.

RADZI (dua ,kanan) menyerahkan replika kunci kepada Penolong Kanan Pentadbir Azman Sharif (dua, kiri) pada Majlis Penyerahan SMK Bandar Saujana Putra hari ini. FOTO Bernama
RADZI (dua ,kanan) menyerahkan replika kunci kepada Penolong Kanan Pentadbir Azman Sharif (dua, kiri) pada Majlis Penyerahan SMK Bandar Saujana Putra hari ini. FOTO Bernama

Radzi berkata, sejak dua tahun lalu, kementerian sudah memberi keutamaan untuk konteks infrastruktur pendidikan, termasuk usaha menyiapkan pembangunan sekolah terbengkalai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 2:03 PM