Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Harian Metro memperoleh anugerah Media Bahasa Melayu Terbaik Agrobank Spotlight Award 2021 dalam Kategori Organisasi Media pada Majlis Malam Penghargaan Media Agrobank 2021, di sini, semalam.

Pada majlis itu, wartawan Harian Metro, Sri Ayu Kartika Amri turut menerima anugerah cemerlang Agrobank Sidekick Salute Award 2021 bagi Kategori Wartawan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank memperkenalkan dua kategori anugerah itu bagi menghargai pengamal media dan organisasi media yang paling banyak membuat liputan berkaitan Agrobank sekali gus menyumbang kepada kejayaan Agrobank pada tahun lalu.

"Empat wartawan dan empat organisasi media membawa pulang anugerah Agrobank Sidekick Salute Award dan Agrobank Spotlight Award yang diperkenalkan khusus untuk menghargai pengamal media dan organisasi media.

"Pemilihan penerima anugerah dibuat berdasarkan Laporan Liputan Media Tahunan 2021 yang dikendalikan agensi penganalisis media bertauliah pada akhir tahun lalu.

"Agrobank berterima kasih kepada semua pengamal media dan organisasi media yang memberikan sokongan secara berterusan, menerusi penulisan dan penerbitan bahan berita berkaitan Agrobank di pelbagai medium dan platform sepanjang 2021, khususnya dalam mengharungi tempoh getir ketika penularan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, sokongan padu dan berterusan daripada pihak media amat bermakna bagi Agrobank.

Ini kerana, katanya, fungsi penting dimainkan oleh media dalam membawa suara Agrobank untuk terus mendidik, menyampaikan maklumat perkembangan semasa untuk manfaat umum serta pelanggan bank khususnya.

"Ini secara tidak langsung meningkatkan kekuatan dan keterlihatan jenama Agrobank dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) di bawah Kementerian Kewangan, Agrobank diberikan mandat oleh kerajaan untuk menyokong pembangunan dalam sektor pertanian negara sejak 1969, dan mandat ini akan kami teruskan untuk generasi dan komuniti agro akan datang," katanya.

Turut memenangi anugerah kategori organisasi media ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM) (Media TV dan Radio Terbaik), Sinar Harian (Media Dalam Talian Terbaik) dan The Star (Media Bahasa Inggeris Terbaik).

Bagi kategori wartawan pula dimenenangi Norshahzura Mat Zuki (Sinar Harian), Hazwan Faisal Mohamad (Berita Harian) dan Mahanum Abdul Aziz (Berita Harian).

Penerima anugerah 'Agrobank Sidekick Salute Award' membawa pulang hadiah berupa kepingan emas, plak, cenderahati dan sijil penghargaan. Manakala, empat organisasi media yang dianugerahi 'Agrobank Spotlight Award' menerima baucer makanan, plak, dan sijil penghargaan berserta cenderahati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 4:37 PM