PUSAT karaoke yang dikesan beroperasi tanpa lesen. FOTO Ihsan Polis
PUSAT karaoke yang dikesan beroperasi tanpa lesen. FOTO Ihsan Polis
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Tiga pusat karaoke dikesan beroperasi tanpa lesen dalam operasi bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan pusat hiburan di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi bersepadu membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bermula 10 malam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga premis berkenaan menjalankan aktiviti tanpa lesen hiburan sah yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, susulan itu, premis dan tiga lelaki yang juga penjaga premis berkenaan berusia antara 20 hingga 53 tahun, dikenakan tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.

"Beberapa barang seperti Unit Pemprosesan Pusat (CPU), monitor, amplifier, pembesar suara, mikrofon, keyboard dan televisyen turut dirampas dalam operasi berkenaan.

"Penguat kuasa KKM turut mengeluarkan kompaun RM1,000, masing-masing kepada tiga individu yang gagal mengimbas aplikasi Mysejahtera semasa masuk dan berada dalam premis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 8:19 PM