FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang pengurus pusat hiburan ditahan manakala 27 individu pengunjung dikompaun RM1,000 kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), malam tadi.

Dalam operasi bersepadu dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Taman Mount Austin di sini, kira-kira jam 10.05 malam itu, wanita berusia 26 tahun berkenaan ditahan selepas gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, polis melakukan operasi bersepadu berkenaan selepas menerima makluman awam di samping risikan yang dibuat.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pengunjung membabitkan 13 lelaki dan 14 wanita yang sedang berhibur tanpa ada sebarang penjarakan sosial.

"Kesemua 27 pengunjung termasuk pengurus premis dibawa ke IPD JBS untuk dikeluarkan kompaun di bawah perkara 10 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan kesemua OKK (Orang Kena Kompaun) diarahkan pulang ke rumah masing-masing selepas keterangan diambil dan kompaun dibayar.

"Penguat kuasa dari MBJB juga turut menyita dan merampas barang-barang di dalam premis berkenaan atas sebab lesen perniagaan yang tidak sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika PKPP bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline IPD JBS di 07-2182323 sekiranya mempunyai maklumat terhadap sebarang pelanggaran SOP PKPP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 2:55 PM