Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menafikan dakwaan tiada tindakan oleh pihaknya berkaitan aduan mengenai cerun daripada penduduk di Taman Bukit Permai 2 sebelum ini.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ Norhayati Ahmad berkata, hasil semakan dilakukan mendapati pihaknya menerima aduan kerosakan longkang di hadapan rumah Jalan 1/2 dan bukan di tapak ini.

"Dimaklumkan sejak kejadian gelongsoran tanah di Taman Bukit Permai, kelmarin, MPAJ menerima maklumat bahawa tiada tindakan diambil selepas penduduk membuat aduan.

"MPAJ sudah membuat semakan aduan berkenaan dan mendapati ia adalah kerosakan longkang di hadapan rumah iaitu di Jalan 1/2k dan bukan di tapak ini.

"Aduan mengenai longkang pecah ini sudah diperiksa dan anggaran kos pembaikan adalah RM1 juta," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, semakan dilakukan pihak MPAJ di tapak gelongsoran berkenaan mendapati tiada aduan diterima.

"Aduan yang dikemukakan adalah di dua lokasi berbeza. Adalah ditegaskan MPAJ sentiasa mengambil tindakan segera terhadap aduan-aduan yang dikemukan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan empat maut, manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 1:38 PM