Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang: Penghuni 22 unit rumah di Taman Bukit Permai, di sini, diminta mengosongkan kediaman masing-masing susulan kerja kajian tanah akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu ini.

Pengosongan itu membabitkan 80 penduduk di 15 unit rumah di Jalan Permai 1, Taman Bukit Permai; Jalan Teratai 1/2K (satu unit) dan Jalan Teratai 1/2J (empat unit) di Taman Bukit Permai 2 serta Jalan Mega Jaya 15 (dua unit).

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata, kajian secara terperinci membabitkan kerja-kerja siasatan tapak runtuhan selain mengenal pasti keadaan cerun dilakukan bagi mengetahui sama ada kawasan itu selamat diduduki atau sebaliknya.

"Kajian itu akan dilakukan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan di tapak runtuhan terbabit.

"Ia merangkumi penyiasatan tanah lebih terperinci yang memerlukan jangka masa kira-kira dua minggu," katanya pada sidang media di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Cheras Baru, hari ini

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan, kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan dan kerja pengukuhan sementara turut dilaksanakan.

Katanya, ini termasuk kerja-kerja pembaikan cerun dan kesemua kajian itu akan dilaksanakan MPAJ, JMG, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Ikram.

"Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jangka masa sebenar proses ini dijalankan. Penduduk akan dimaklumkan semula tentang hasil kajian daripada semasa ke semasa termasuk keputusan sama ada kesemua 22 buah kediaman itu selamat untuk diduduki," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung sambutan pusat pemindahan sementara (PPS), Ani berkata, hanya seorang penduduk terkesan yang tinggal di dewan berkenaan setakat ini.

"Kita tidak akan menutup PPS itu kerana mungkin selepas ini ada yang berminat mahu berteduh di sini. Maklumat yang kita terima ramai penduduk terkesan tinggal di hotel dan rumah ahli keluarga berdekatan.

"Namun, mungkin ada segelintir yang masih berminat tinggal di PPS ini, maka dewan ini akan terus dibuka sebagai penempatan sementara mangsa," katanya.

Berhubung pampasan kepada penduduk terkesan, katanya, perkara itu akan diuruskan Kerajaan Selangor.

"Seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari umum sebelum ini, sumbangan RM10,000 akan diberikan kepada setiap keluarga empat mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh itu.

"Sumbangan lain kepada penghuni rumah terkesan akan diberitahu nanti oleh kerajaan negeri. Kita akan beri perkembangan kepada penduduk dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 7:02 PM