ADUN Pandan Indah Ir Izham  Hashim (tiga dari kanan) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Abd Hamid Hussain (dua dari kanan) turut hadir.
ADUN Pandan Indah Ir Izham Hashim (tiga dari kanan) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Abd Hamid Hussain (dua dari kanan) turut hadir.
HM Digital

Kempen Ramadan Hijau memasuki tahun kedua penganjurannya pada tahun ini bagi menggalakkan amalan pengurusan sisa buangan yang bijak dan lebih bertanggungjawab.

Ia dianjurkan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS Selangor) di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan Program Jangkauan Awam (ROL-POP) Fasa 3B dan 4.

Kempen ini diadakan untuk mendidik dan mengingatkan orang ramai berkenaan tanggungjawab dan kepentingan pengurusan sisa pepejal serta sisa makanan yang sistematik iaitu melalui amalan 4R - Mengurangkan (Reduce), Penggunaan Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle) dan Jana Semula (Reloop)'.

Statistik terkini daripada Pejabat Lembangan Sungai Klang (PLSK) dari Januari hingga Mac 2018 menunjukkan 26 tan sisa pepejal dikumpulkan di perangkap sampah di kawasan Sungai Ampang. Sementara 28 tan sisa pepejal lagi dikumpulkan di perangkap sampah di kawasan hulu Sungai Gombak.

KEMPEN Ramadan Hijau mendidik dan mengingatkan orang ramai berkenaan tanggungjawab dan kepentingan pengurusan sisa pepejal serta sisa makanan yang sistematik.
KEMPEN Ramadan Hijau mendidik dan mengingatkan orang ramai berkenaan tanggungjawab dan kepentingan pengurusan sisa pepejal serta sisa makanan yang sistematik.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 8.8 peratus kepada 8,700 kg/bulan daripada 8,000kg/bulan di kawasan Sungai Ampang dan 33 peratus dari 7,000kg/bulan hingga 9,300 kg/bulan di kawasan hulu Sungai Gombak.

Situasi ini bukan saja menyebabkan degradasi terhadap kualiti air sungai, malah sistem saliran tersumbat yang juga meningkatkan risiko berlakunya banjir.

Pengarah JPS Selangor Ir Azmi Ibrahim berkata, berdasarkan statistik direkodkan jumlah sisa isi rumah terutama sisa makanan sering menunjukkan peningkatan pada Ramadan dan musim perayaan.

Oleh itu, katanya, sangat penting mengambil langkah awal dengan mengubah dan mengambil tindakan serta- merta kerana cara pengendalian sisa pepejal yang tidak betul akan memberi ancaman serius terhadap alam sekitar.

"Oleh itu, orang ramai perlu lebih prihatin dengan kaedah pengurusan sisa buangan yang diamalkan selama ini terutama sisa makanan terbukti menimbulkan ancaman serius terhadap kesihatan sungai," katanya.

Selain itu katanya, kira-kira 300 penjaja di Bazar Ramadan Taman Ehsan, Taman Greenwood dan Gombak Setia didekati pasukan ROL-POP Fasa 3B serta 4 dalam kempen berkenaan.

SUKARELAWAN menampal risalah Kempen Ramadan Hijau di gerai peniaga.
SUKARELAWAN menampal risalah Kempen Ramadan Hijau di gerai peniaga.

"Lebih menarik apabila peniaga makanan di bazar terbabit menyokong kempen berkenaan memberi diskaun istimewa kepada pelanggan yang membawa bekas makanan sendiri.

"Kami juga memberikan risalah pendidikan kepada orang ramai yang mengunjungi bazar untuk berkongsi cara mudah amalan pengurusan sisa makanan dengan betul seperti membawa bekas makanan, menggunakan beg kitar semula sendiri dan kitar semula minyak masak terpakai," katanya.

ROL-POP adalah projek kesedaran menggalakkan perkongsian dan pembaikan sikap dan tingkah laku kumpulan sasaran dengan tujuan mengurangkan pencemaran di Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Objektif utama ROL-POP ialah untuk mencapai perubahan positif dalam sikap dan tingkah laku kumpulan sasaran di kawasan projek terhadap penjagaan serta pemeliharaan sungai bagi menambah baik kualiti air sungai selain pengurangan pencemaran sungai dalam kawasan projek.

SUKARELAWAN memberikan risalah pendidikan kepada peniaga.
SUKARELAWAN memberikan risalah pendidikan kepada peniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 1:47 PM