GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


MAYAT seorang lelaki ditemui tergantung di atas pokok berhampiran Sunway Batu Caves, Gombak, Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 8.10 pagi tadi.

"Sebaik menerima maklumat itu, sepasukan polis bersama anggota bomba serta kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergegas ke lokasi kejadian.

"Pemeriksaan mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat," katanya.

Arifai berkata, semakan mendapati lelaki tempatan berusia 48 tahun yang mati itu berasal dari Sitiawan, Perak.

"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9 pagi.

"Seramai sembilan pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami membantu menurunkan mayat mangsa yang tergantung di atas pokok berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 7:06 PM