GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Bayi lelaki yang mengalami masalah kesihatan jantung meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh di Taman Selayang Jaya, Batu Caves, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 27 tahun memaklumkan anaknya berusia empat bulan tidak sedarkan diri di rumah pengasuh di Taman Selayang Jaya, Batu Caves.

"Bayi itu dibawa oleh ambulans ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia jam 11.53 pagi semalam oleh doktor.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati bayi lelaki itu dijaga oleh pengasuh iaitu seorang wanita tempatan berusia 47 tahun.

"Difahamkan pada jam kira-kira 11 pagi (semalam), bayi itu tidak sedarkan diri semasa dikejutkan dari tidur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, pengasuh itu kemudian menghubungi ibu bayi terbabit bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

"Proses bedah siasat terhadap mayat bayi berkenaan dilakukan kira-kira jam 9 pagi tadi di Hospital Selayang.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian bayi berkenaan adalah masalah jantung sejak lahir (congenital heart disease)," katanya.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor J J Winson di talian 016-2335454 atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 5:08 PM